Guru Sebagai Penyelidik

August 07, 2010


Menurut Ruhizan dan Maizam (2010), penyelidikan adalah satu proses sistematik yang membabitkan pengumpulan dan penganalisisan maklumat untuk menerangkan dan memahami sesuatu topik, masalah atau isu. Secara amnya sesuatu penyelidikan melibatkan tiga (3) langkah utama iaitu mengemukakan persoalan, mengumpul data untuk menjawab persoalan dan mengemukakan jawapan kepada persoalan.

Sebagai pengamal pendidikan seseorang guru perlu terlibat dalam penyelidikan dengan tujuan untuk menambah baik amalan-amalan sedia ada yang telah dipraktikkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di kelas. Penyelidikan tersebut di kenali sebagai kajian tindakan.

Menurut Ebbut (1985), kajian tindakan adalah suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut. Manakala Cochran dan Lytle (1990) mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru, dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.

Oleh yang demikian kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya. Merupakan satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang melibatkan warga sekolah itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing. Berbentuk kualitatif dengan menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca.

Peranan guru sebagai penyelidik menjadi semakin penting bagi memastikan profesion keguruan berada pada tahap yang tinggi dan berkualiti. Kajian tindakan merupakan satu pendekatan di mana guru dapat membuat proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya dengan melihat kelemahan-kelemahan yang wujud seperti:

  1. mengubah dan menyesuaikan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat murid untuk belajar; 
  2. dapat merancang huraian mata pelajaran dengan lebih berkesan;
  3. menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid terhadap pembelajaran;
  4. mewujudkan kolaboratif dan persefahaman di kalangan guru.

Menurut Nunan (1990), kajian tindakan di bilik darjah tidak memerlukan piawaian formal seperti sebuah projek penyelidikan dengan mencari literatur, pengujian hipotesis, keadaan pembaikan dan sebagainya. Sebaliknya, terdiri daripada tujuh langkah asas untuk menyiasat masalah iaitu:

  1. Setelah menentukan bahawa ada potensi masalah, selidik apa yang berlaku (status quo) melalui pemerhatian sama ada melalui video, audio atau apa sahaja yang berkaitan yang tersedia;
  2. Kodkan pemerhatian berdasarkan masalah dan apa yang dilihat (iaitu, kod ini dicipta hanya untuk masalah/ sesi)
  3. Berdasarkan maklumat yang dikodkan, tentukan satu perubahan yang boleh mempengaruhi masalah dengan cara yang positif.
  4. Laksanakan perubahan di dalam kursus/ bilik darjah.
  5. Pantau kursus/ bilik darjah (seperti dalam Langkah 1) sementara melaksanakan perubahan.
  6. Kodkan pemerhatian baru seperti dalam Langkah 2.
  7. Akhirnya, bandingkan sesi kod untuk menentukan keputusan perubahan.

Sebagai guru yang berpengalaman mungkin mereka akan mendapati kaedah pengajaran atau bahan bantu mengajar sedia ada kurang memberi kesan atau berfungsi dengan baik apabila dilaksanakan di dalam kelas. Sebagai contoh didapati bahan bantu mengajar yang sedia adalah terlalu umum kandungannya dan tidak menjurus kepada tahap pengetahuan sekumpulan pelajar. Maka guru tersebut boleh melaksanakan satu kajian berdasarkan pemasalahan yang ditemui bertujuan untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

No comments:

Post a Comment